Showing posts with label Tokoh gerakan. Show all posts
Showing posts with label Tokoh gerakan. Show all posts

Friday, July 23, 2010

Badiuzzaman Said Nursi

Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan di perkampungan Nurs di Wilayah Bitlis, yang terletak di timur Anatolia pada tahun 1876M, iaitu tahun Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta pemerintahan Uthmaniyyah. Beliau yang kemudiannya diberi gelaran Badiuzzaman (Keagungan Zaman) berketurunan Kurdi dan tidak bertutur di dalam Bahasa Turki, hinggalah beliau berhijrah ke bandar Van.

Semasa di Van, beliau telah membuat analisa terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya kaum Kurdi terhadap Islam. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa beliau berkewajipan untuk belajar ilmu-ilmu Sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Badiuzzaman Said al-Nursi telah meluangkan masa belajar dengan tekun ilmu Geografi, Fizik dan Falak.

Beliau seterusnya berusaha agar ilmu Sains ini diajar seiringan dengan ilmu agama agar mereka yang tidak dapat memahami kecuali melalui ‘bahasa Sains’ akan dapat juga sampai kepada hakikat Iman.

Ketika berlakunya kucar kacir besar-besaran di Istanbul pada 13 April 1909 yang membawa kepada tersingkirnya Sultan Abdul Hamid II dari takhta Khalifah, Parti Ittihad ve Terakki telah pun menguasai negara. Mereka telah menangkap ramai sarjana Islam dan diheret ke muka pengadilan. Di antara mereka itu ialah Badiuzzaman Said al-Nursi. Tetapi disebabkan oleh kepintarannya berhujah, mahkamah gagal mensabitkan beliau dengan sebarang pertuduhan, dan akhirnya dibebaskan.

Badiuzzaman Said al-Nursi juga pernah pergi ke Syam (Damascus) dan menyampaikan khutbahnya di Masjid al-Umawi di sana. Khutbah yang disampaikannya di situ dikenali sebagai al-Khutbah al-Syâmiyyah, menjelaskan tentang sebab-sebab kemunduran umat Islam sebagaimana yang diperhatikannya.

Beliau juga telah secara sukarela menyertai Perang Dunia Pertama bersama-sama dengan 3000 orang anak muridnya. Mereka bertempur dengan tentera Russia yang bekerja keras menawan Bitlis. Selepas ramai tentera Russia terbunuh di satu pihak, serta tentera Islam dari kumpulan Turki dan Kurdi di satu pihak yang lain, akhirnya Bitlis jatuh ke tangan Russia. Badiuzzaman Said al-Nursi telah ditawan dan dipenjarakan. Akan tetapi, semasa di penjara itu, beliau tetap meneruskan kerjanya mengajar Islam kepada tawanan perang.

Badiuzzaman telah berjaya melepaskan diri dari tawanan tersebut dan melarikan diri ke Siberia. Kemudiannya beliau ke Eropah dan seterusnya pulang ke Istanbul melalui Warsaw, Berlin dan Vienna.

Di Istanbul, Enver Paşa yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu telahmengurniakan Badiuzzaman Said al-Nursi pelbagai anugerah kehormat di atas jasanya memimpin orang ramai ke arah bangkit menentang penjajahan Russia. Enver Paşa juga telah melantik beliau menjadi anggota Darü’l-Hikmeti’l-Islamiye, sebuah akademi yang menghimpunkan sarjana Islam di Istanbul ketika itu.

Selepas berlakunya Perang Kemerdekaan dan berjayanya Turkish Grand National Assembly dibentuk, kabinet Atatürk telah menjemput Badiuzzaman menyertainya di Ankara. Jemputan itu diterima, namun selepas tibanya Badiuzzaman ke Ankara, dia tidak dapat bersekongkol dengan mereka kerana beliau mendapati anggota kabinet itu tidak patuh kepada Syariat Islam.

Beliau menegur Atatürk dan anggota kabinetnya, “tidak ada kebaikan yang boleh saya harapkan daripada golongan yang mengabaikan Solat!” Selepas itu, Badiuzzaman Said al-Nursi meneruskan kegiatannya berdakwah, mendidik masyarakat dan sentiasa berulang alik di antara penjara dan pembuangan, hasil tekanan yang dibuat oleh regim Atatürk.

Pada tahun 1935, kerajaan Republik Turki telah membuat pertuduhan terhadap Badiuzzaman bahawa kononnya beliau menubuhkan sebuah gerakan rahsia yang menentang pemerintah. Beliau telah didakwa di Mahkamah Eskişehir dan kemudiannya dibuang ke Kastamonu. Manakala pada tahun 1943, Mahkamah Denizli telah mendakwa Badiuzzaman Said al-Nursi bahawa beliau memimpin sebuah pergerakan rahsia yang bertujuan menggulingkan pemerintah, serta menuduh Atatürk sebagai ‘Dajjal dan Pembinasa Agama’. Pendakwaan itu berlangsung selama 9 bulan. Beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan tetapi ditahan daerah di Emirdağ, sebuah bandar di daerah Afyon.

Pada tahun 1952, Badiuzzaman tiba di Istanbul tetapi kemudiannya pulang semula ke Emirdağ dan di peringkat inilah, risalah-risalah karangannya, dikumpul dan ditulis dengan huruf Arab untuk disebarkan kepada orang ramai. Pengikut Badiuzzaman menjadi semakin ramai khususnya selepas tahun 1950 iaitu di era pemerintahan İsmet İnonu.

Penulisan Badiuzzaman telah menjadi pembimbing yang besar kepada umat Islam di Turki. Beliau menulisnya secara non linear iaitu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran bukan mengikut susunan Surah atau Ayat. Sebaliknya berdasarkan kepada keperluan masyarakat menerusi isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Beliau sendiri menggelar Risalahnya sebagai “penolak keraguan yang ditimbulkan oleh Syaitan-syaitan Jin dan manusia, serta pengukuh Aqidah kaum Muslim di jalan yang Haq dan betul”

Pada tahun 1960 Said al-Nursi berhasrat untuk berpindah dari İsparta ke Urfa. Di rehlah kali inilah, Badiuzzaman Said al-Nursi menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas suatu perjalanan hidup yang panjang dan berliku, iaitu pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Beliau selamat dikebumikan di Urfa.

Akan tetapi pada 11 Julai 1960, Revolusi Tentera telah menggulingkan pentadbiran kabinet Adnan Menderes dan beliau sendiri dihukum gantung oleh pihak Tentera dengan alasan bersikap acuh tidak acuh di dalam mengekang kebangkitan semula golongan pro-Islam. Pada masa itulah, anggota revolusi telah mengarahkan supaya makam Badiuzzaman Said al-Nursi dibongkar dan jenazahnya dikeluarkan untuk dipindahkan ke İsparta. Di bandar itulah, Badiuzzaman Said al-Nursi bersemadi di suatu tempat yang tidak diketahui, hingga ke hari ini.
Dakwah yang dilakukan oleh Badiuzzaman Said al-Nursi menonjolkan kesungguhan beliau memecahkan kebekuan tradisi pengajian ilmu Islam, mendorong kepada penguasaan ilmu Syariat dan Sains dan saling mempergunakan kedua-dua ilmu tersebut ke arah memahami hakikat Iman.

Beliau tidak banyak mendatangkan perselisihan pandangan Ulama, sebaliknya banyak memfokuskan kepada meneroka pelbagai kaedah penyampaian demi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat memahami mesej yang hendak diketengahkan.
Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran untuk Badiuzzaman Said al-Nursi yang kehidupan dan matinya bujang, kerana berkahwin dengan perjuangan yang gigih dan berpanjangan.

Sumber:
Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Uthmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pada 4 Februari 2006. Artikel asal bertajuk Dakwah Badiuzzaman Said al-Nursi.

Saturday, July 17, 2010

TOKOH PEJUANG AGAMA - IZZUDDIN AL-QASSAM



Izzudin al-Qassam dilahirkan di Syria pada tahun 1882 di Jabalah, Utara Syria dalam keluarga sufi. Nama sebenar beliau adalah Muhammad Izzuddin bin Abdul al-Qadir bin Mustapha bin Yusuf bin Muhammad al-Qassam. Bapa beliau seorang guru Quran di kampung.

* Anak Didik Sheikh Muhammad Abduh

Beliau mendapat ijazah pertama di Universiti al-Azhar pada tahun 1906. Di al-Azhar, beliau sempat menuntut dari seorang tokoh reformis, Sheikh Muhammad Abduh. Semasa menuntut di sana, beliau menunjukkan kecenderungan berdakwah. Selepas menamatkan pengajian, beliau menjadi guru dan imam. Sebagai pendidik dan pendakwah, beliau sering memberi penerangan kepada masyarakat mengenai isu-isu semasa daripada sudut pandangan Islam. Usaha dakwah beliau ini bejaya mengubah pemikiran supaya cenderung kepada kebangkitan Islam.

Selepas Itali menceroboh Libya pada tahun 1911, beliau mengisytiharkan jihad pada Itali. Beliau bertindak mengumpulkan sukarelawan untuk berangkat ke Libya bagi berjihad. Semasa Perang Dunia Pertama, beliau menyertai pasukan tentera Empayar Uthmaniyah dan ditempatkan di Demascus.

Pada tahun 1920, berlaku Revolusi Syria yang mencetuskan perang Melson. Izzuddin mengumpulkan sepasukan sukarelawan bagi berperang dengan pihak Perancis. Pada tahun 1921, beliau adalah individu penting dalam penentangan terhadap Perancis di Syria. Namun, serangan demi serangan tentera Perancis memaksa beliau dan pengikutnya berundur ke Haifa, Palestin. Di sini, beliau membuka sebuah sekolah bagi mengajar golongan bawahan.

* Tokoh Gerakan ‘Black Hand’

Izzuddin dianggap sebagai mujahid kerana dia memahami perancangan Zionis yang mahu mendirikan sebuah negara Yahudi di Palestin. Beliau juga tahu terdapat pakatan sulit antara Zionis dan Amerika Syarikat serta British khususnya. Beliau sering memberi ucapan-ucapan di Masjid An-Nasr dan Masjid Istiqlal bagi memberi kesedaran dan membangkitkan semangat para pengikutnya.

Pada tahun 1927, beliau memimpin Jam’iyah Asy-Syubban A-Muslimin (Persatuan Pemuda Muslim) yang beribu pejabat di Kota Haifa. Selama bertahun-tahun, beliau berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat Arab Palestin mengenai rancangan jahat Zionis dan mempersiapkan mereka bagi menghadapi jihad dengan rejim Zionis. Usaha beliau juga banyak tertumpu kepada menyatukan penduduk Palestin.

Pada tahun 1929, beliau dilantik menjadi Kadi Nikah di Mahkamah Syariah di Haifa. Melalui jawatan ini, beliau sering turun ke utara Haifa di mana pelarian Palestin yang hidup serta daif berkampung. Di sana, beliau mengumpulkan pasukan-pasukan gerila bagi bertempur dengan pihak British dan Yahudi.

Lambat laun, beliau menjadi terkenal dalam kalangan golongan bawahan. Selepas pembunuhan beramai-ramai di Hebron pada tahun 1929, beliau menubuhkan kumpulan “Black Hand”, sebuah gerakan bersenjata anti-British yang berjaya merekrut hingga 800 ahli.

* Syahid di Jalan Allah

Pada tahun 1930-an, usaha beliau mendapat sokongan daripada Parti Istiqlal. Pada tahun 1931, pasukan bersenjata yang dibentuk beliau menyerang sebuah perkampungan Yahudi di Yagur. Bertitik dari Yagur, pasukan Izzuddin meneruskan serangan hingga tersebar ke seluruh wilayah pergunungan pada tahun 1935.

Pada 20 November 1935, unit beliau seramai enam orang bertempur dengan tentera British berhampiran Ya’bad. Pihak British turut dibantu oleh pesawat tempur. Dalam pertempuran berani mati, beliau dan dua orang pengikutnya terkorban. Pemergian Izzuddin membangkitkan penentangan yang lebih hebat pada penjajah Zionis.

Hari ini nama beliau sinonim dengan pasukan berani mati, Briged Izzuddin al-Qassam, sebuah sayap bersenjata Hamas sebagai tanda mengingati perjuangan Izzuddin memperjuangkan kemerdekaan Palestin.

Tuesday, July 13, 2010

TOKOH PEJUANG AGAMA - SAYYED HASSAN NASRALLAH



Hassan Nasrallah dilahirkan pada 31 Ogos 1960 di Beirut Timur, Lubnan. Beliau anak sulung daripada sembilan adik beradik. Ayahnya, Abdul Karim seorang penjual sayur. Beliau berkahwin dengan Fatimah Yassin dan dikurniakan lima orang anak.

* Pedidikan Awal

Nasrallah mendapat pendidikan awal di Sekolah Al-Najah dan kemudian di sebuah sekolah awam di Sin el-Fil, Beirut. Semasa perang saudara meletus di Lubnan pada tahun 1975, keluarganya berpindah ke kampong Bassouriyeh, Lubnan Selatan. Selepas menamatkan persekolahan menengahnya di Tyre, beliau menyambung belajar di sebuah kolej di Najaf, Iraq selama tiga tahun. Semasa menuntut di Iraq, beliau mengenali Sayyed Abbas Musawi dan seorang lagi pemimpin Hizbullah, Sayyed Mohammad Hussein Fadlallah.

Pada tahun 1978, beliau terpaksa kembali ke Lubnan selepas kerajaan Iraq menghalau keluar pelajar-pelajar Lubnan dari Negara itu. Sekembalinya ke Lubnan, beliau mengajar di sebuah sekolah agama milik Sayyed Abbas Musawi.

* Terlibat dengan Hizbullah

Nasrallah menyertai gerakan Hizbullah pada tahun 1982 bagi menentang pencerobohan Zionis Yahudi ke atas Lubnan. Beliau semakin dikenali ramai semasa memimpin gerakan gerila menentang Zionis. Pidato-pidato beliau menarik minat ramai penyokong, terutamanya golongan muda,

Antara tahun 1987 hingga 1989, beliau menyambung pelajaran agamanya di Qom, Iran. Namun, beliau kembali ke Lubnan semula bagi menghalang kemaraan tentera Israel. Sejak 1992, beliau dipilih memimpin Hizbullah sebagai Setiausaha Agong. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Sayyed Abbas Musawi yang terbunuh semasa serangan helikopter tentera Israel.

* Ikon Politik Lubnan

Nasrallah adalah pemimpin yang berkarisma dan bijaksana. Beliau memperoleh sokongan hasil jaringan sosial beliau di kawasan majoriti Syiah di Lubnan. Kempen ketenteraan beliau mendapat kejayaan demi kejayaan dan memaksa tentera Israel berundur dari Lubnan pada tahun 2000 selepas 18 tahun mencerobohi Lubnan. Pengunduran ini menaikkan lagi nama beliau di Lubnan dan rantau Timur Tengah.

Hasil rundingan pertukaran tahanan perang yang diusahakan beliau pada 2004 dengan pihak Israel membolehkan lebih 400 orang yang dipenjarakan oleh Israel dibebaskan. Kejayaan-kejayaan ini memberkan Hizbullah pengaruh politik yang besar dalam kerajaan Lubnan.

Beliau juga antara individu yang mendorong gerakan Hizbullah memasuki kencah politik. Pada pilihan raya 2005, calon-calon Hizbullah menang lebih banyak kerusi di Parlimen berbanding pilihan raya sebelumnya. Walaupun beliau sendiri tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet Lubnan, beliau dianggap sebagai ikon dalam politik Lubnan.

Pada tahun 2006, Nasrallah dan Hizbullah berjaya mengekang tentera Israel daripada mencerboh Lubnan sekali lagi. Malah, beliau dan Hizbullah membantu membangunkan semula penempatan di Selatan Lubnan selepas perang itu. Pada tahun itu juga percubaan membunuh beliau oleh tentera Israel gagal walaupun rumahnya musnah dibedil kapal terbang pejuang Israel.

Saturday, July 3, 2010

ZAINAB AL-GHAZALI


Zainab al-Ghazali adalah wanita yang memperjuangkan hak-hak Islam. Beliau dilahirkan pada 1917 di Buhaira, Mesir. Beliau adalah keturunan Khalifah Umar al-Khattab dan al-Hassan bin Ali bin Abi Talib. Bapanya seorang guru agama dan peniaga kapas. Bapanya juga seorang pelajar lulusan Universiti al-Azhar.

Zainab adalah wanita kental dan berani dalan memperjuangkan agama Islam. Semasa beliau masih remaja iaitu pada tahun 1936, beliau menyertai Kesatuan Waniat Mesir. Namun, beliau keluar daripada kesatuan itu dan menubuhkan Jamaah Wanita Muslimah. Penubuhan Jamaah Wanita Muslimah adalah bagi mengurus segala perkara yang berkaitan dengan aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam.

* Aktif dalam Pertubuhan Wanita

Pada tahun 1928, Hassan al-Banna bertemu Zainab untuk menjadi penggerak kepada sayap wanita bagi pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Imam Hassan al-Banna mahu supaya Jamaah Wanita Muslimah bergabung dengan Ikhwanul Muslimin. Namun, Zainab menolak pelawaan itu tetapi bersetuju memberi kerjasama apabila diperlukan.

Kemudian Zainab berbaiah dengan Imam Hassan al-Banna pada tahun 1948. Pada tahun 1949, Zainab menyokong dan memperjuangkan agama Islam bersama Imam Hassan al-Banna. Pada 12 Februari 1949, Imam Hassan al-Banna ditembak dan mati syahid.

Peristiwa kematian Imam Hassan al-Banna tidak mematahkan semangat Zainab dalam memperjuangkan daulah Islam. Bersama pengganti pemimpin Ikhwanul Muslimin yang baru iaitu Hassan al-Hudhaibi, Zainab menunaikan baiahnya yang pernah dibuat semasa Imam Hassan al-Banna masih hidup. Namun, perjuangannya bersama Ikhwanul Muslimin ditentang oleh pemerintah iaitu Jamal Abdul Nasser. Kisah penderitaan hidupnya semasa pemerintahan Jamal Abdul Nasser ada tertulis dalam kitab Hari-hari Dalam Hidupku.

* Zainab al-Ghazali Dipenjara

Zainab ditangkap dan dipenjara pada tahun 1965 apabila pihak kerajaan Mesir berasa curiga pada pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Jamaah Wanita Muslimah dibubarkan. Pada tahun 1966, Zainab dibicarakan dan dihukum penjara seumur hidup dengan melakukan kerja-kerja berat.

Pada tahun 1967, kerajaan Mesir di bawah pimpinan Jamal Abdul Nasser mengalami kekalahan kepada Israel dan sekutunya dalam perang tiga serangkai. Pada tahun 1971, hukuman pada Zainab dibatalkan dan beliau dibebaskan dari penjara apabila Jamal Abdul Nasser meninggal dunia. Beliau dibebaskan oleh pemerintah Mesir yang baru iaiu Anwar Sadat.

* Karyanya yang Terkenal

Zainab seorang yang berbakat besar dalam bidang penulisan. Beliau banyak menulis di dalam majalah al-Da’wa. Beliau adalah editor bagi sebuah ruangan dalam majalah al-Da’wa bagi pembangunan rumah tangga Muslim yang sejati. Kata-kata yang beliau berikan juga bernas dan berlandaskan agama Islam. Ini terbukti apabila beliau mengeluarkan kenyataan dalam satu temu ramah di rumahnya pada tahun 1981.

Beliau berkata,”Islam menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya iaitu kebebasan, hak dalam ekonomi, politik, sosial, hak awam dan juga hak persendirian. Islam memberikan hak-hak wanita dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata perihal kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian, Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata perihal kebebasan wanita. Wanita muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka lebih tahu Islam memberikan mereka semua hak-hak mereka.“

Selain itu, antara karya beliau yang terkenal adalah sebuah buku yang bertajuk Return of The Pharaoh. Buku itu diharamkan oleh pihak kerajaan Mesir kerana isi kandungannya khas ditujukan kepada Presiden Mesir pada masa itu.

Zainab al-Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Rabu, 3 Ogos 2005 semasa umurnya 88 tahun.


Sumber : Fb

Monday, June 28, 2010

Umar Tilmisani



Nama sebenar Umar Tilmisani adalah Umar Abdul Fattah bin Abdul Qadir Musthafa Tilmisani. Beliau dilahirkan di Al-Ghauriyah, kota Kaherah pada 4 November 1904. Ayahnya pedagang kain dan batu permata yang berasal dari desa Tilmitsani di Al-Jazair, sebelum berhijrah ke Kaherah. Umar membesar dalam suasana yang mewah, hasil kekayaan keluarganya.

* Pendidikan

Umar mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah yayasan sosial tingkat menengah iaitu Sekolah Ibtidaiyyah Jami’iyyah Khaeriyah. Pedidikan menengah beliau pula diperoleh di Madrasah Tsanawiyah al-Hilmiyah. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian ke Fakulti Undang-undang dan tamat pada tahun 1933. Sebaik sahaja tamat pengajian, beliau menjadi peguam di Syabin Al-Qanathir.

Beliau bersama Ikhwanul Muslimin sejak tamat pengajian. Malah, beliau adalah peguam pertama yang menyertai Ikhwan. Beliau banyak mengkaji kitab-kitab tafsir, fiqh, hadis dan sirah. Imam Hassan al-Banna sering meminta pandangan Umar dalam menyelesaikan masalah-masalah yang rumit.

* Sikap Peribadi

Umar seorang yang zuhud. Beliau hidup secara sederhana di sebuah apartmen yang berada di lorong-lorong sempit Kompleks Al-Mulaiji Asy-Sya’biyah Al-Qadimah, wilayah Ath-Thahir. Perabot di dalam apartmen beliau juga sederhana walaupun beliau berasal daripada keluarga yang berstatus tinggi dan kaya raya. Sifat ini menyebabkan masyarakat menghormati dan mengasihinya.

Umar juga fasih berkata-kata serta pandai berhujah, ucapan-ucapan Umar menjadi motivasi, baik kepada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin mahupun masyarakat.keseluruhannya. Beliau tidak menyakiti sesiapa dengan kata-kata kesat walaupun musuh-musuh Islam. Beliau tidak suka menggunakan kaedah kekerasan, hatta membalas kezaliman orang lain. Sikap ini jelas dalam satu dialog antaranya dengan presiden Anwar Sadat di televisyen.

Apabila Anwar Sadat menuduh pergerakan Ikhwanul Muslimin dengan tuduhan-tuduhan palsu, Umar menjawab dengan sopan dan tegas, “Sesiapa pun yang berlaku zalim kepadaku, biasanya saya adukan kepada kamu. Kerana kamu adalah rujukan tertinggi selepas Allah bagi orang yang mengadu. Sekarang, kezaliman itu datang daripada kamu, kerana itu saya adukan kamu kepada Allah.”

* Ujian Sebagai Pendakwah

Beliau menjadi Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin pada November 1973 selepas Mursyidul Am kedua, Hasan Hudhaibi meninggal dunia. Semasa Umar memegang tampuk kepimpinan Ikhwan, dakwah berkembang dengan pesat. Beliau memimpin Ikhwan dengan tenang, bijaksana dan professional.

Beliau pernah dipenjara oleh pemerintah Mesir beberapa kali dan menghabiskan lebih 17 tahun umurnya di dalam penjara. Pertama kali beliau dipenjara adalah pada tahun 1948 dan kali terakhir pada tahun 1981. Selama dipenjara, beliau tetap teguh dengan pendiriannya dalam perjuangan. Beliau tidak pernah tunduk kepada ancaman musuh dan hanya takut kepada Allah. Selepas beliau dibebaskan, beliau terus mengemudi Ikhwan Muslimin yang sedang dilanda pelbagai ujian dengan lebih bersemangat.

Dalam satu peristiwa, apabila beliau dibebaskan dari penjara pada tahun 1971, beliau bertanya kepada pegawai penjara, “Bolehkah saya menginap di sini satu malam lagi. Saya akan keluar pagi esok kerana saya sudah lupa jalan-jalan di kota Kaherah.”

* Penulisan

Umar banyak menulis buku-buku dakwah dan juga berkarya di dalam majalagh Ad-Dakwah Al-Qahiriyah. Beliau tidak pernah mengambil sebarang bayaran bagi artikel-artikel yang ditulis beliau di dalam akhbar ataupun majalah. Antara buku-buku beliau adalah Al-Islam wal hukumah Ad-diniyah, Dzikrayat la Mudzakarat, Syahid al-Mihrab, Ba’dhu Ma Allamani Al-Ikhwan dan banyak lagi.
Kembali Kepada Allah

Umar meninggal dunia pada 22 Mei 1986 di hospital sakit pada usia 82 tahun. Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Jami’ Umar Mukarram, Kaherah. Dianggarkan sekurang-kurangnya 250,000 orang dari dalam dan luar Mesir menghadiri pengkebumiannya pada hari itu.


"Subhanallah...Allahu Akbar..bagaimana bisa aku jadi seperti mereka..?? Bagaimana cara utk aku tanamkan dan cambahkan dalam diri aku semangat juang sepertinya..?? Seorang yang zuhud..tenang..pandai berhujah..bijaksana..Subhanallah...berilah aku sedikit tiupan dari semangatnya...Amiin... "

Sumber : FB

Friday, June 25, 2010

SHEIKH AHMAD YASSIN



TOKOH PEJUANG AGAMA - SHEIKH AHMAD YASSIN


Sheikh Ahmad Yassin atau nama sebenar beliau Ahmad Ismail Yassin dilahirkan pada tahun 1937 di perkampungan Al-Jura, Majdal, Palestin. Keluarga beliau berpindah ke Semenanjung Gaza selepas kampungnya musnah dalam peperangan Arab-Israel pada tahun 1948.

Semasa berumur 12 tahun, beliau terlibat dengan kemalangan sukan. Tangan dan kakinya lumpuh akibat kemalangan itu dan semenjak itu beliau terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang hayatnya.

* Pendidikan


Walaupun lumpuh, beliau berupaya menyambung belajar ke universiti di Mesir pada tahun 1959. Namun, akibat kekurangan wang, beliau tidak menghabiskan pelajaran beliau dan kembali ke Gaza. Semasa di Mesir, beliau menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.

Beliau menjadi guru pendidikan Islam dan bahasa Arab. Beliau menjadi khatib di Masjid Gaza dan sering menaikkan semangat penduduk Palestin dalam khutbah-khutbah beliau.

* Dipenjara kerana Berjuang

Pada tahun 1983, beliau ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan terlibat dengan operasi bawah tanah menentang penjajah Israel. Mahkamah tentera Israel menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara ke atasnya. Selepas 11 bulan dipenjara, beliau dibebaskan dalam satu perjanjian pertukaran tawanan.

Semasa kebangkitan intifadah pertama pada tahun 1987, Yassin menubuhkan Pergerakan Kebangkitan Islam atau ’Hamas’ bersama rakannya, Abdul Aziz Al-Rantissi. Beliau menjadi pemimpin spiritual Hamas sejak penubuhannya. Pada bulan Mei 1989, beliau ditangkap bersama ratusan pendokong Hamas sebagai usaha mengekang kebangkitan bersenjata dalam kalangan rakyat Palestin.

Pada Oktober 1991, beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun oleh mahkamah tentera Israel atas tuduhan menubuhkan pasukan bersenjata menentang Israel dan menggalakkan keganasan. Semasa dalam tahanan, beliau dipukul yang menyebabkan kedua-dua mata dan telinganya hampir hilang fungsi. Pada tahun 1997, beliau dibebaskan dari penjara Israel sebagai timbal balik ke atas pembebasan ejen Mossad Israel yang ditawan oleh kerajaan Jordan.

Semasa kebangkitan intifadah kedua pada tahun 2000, Yassin berkeras supaya rakyat Palestin berhak menentang penjajahan ke atas Palestin. Ini menyebabkan beliau menjadi sasaran pembunuhan oleh Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon.

* Syahidnya Seorang Pejuang

Pada September 2003, kapal terbang pejuang udara Israel melepaskan tembakan peluru berpandu ke arah sebuah bangunan di Bandar Gaza dalam cubaan membunuh Yassin, namun, beliau terselamat. Walaupun beliau menjadi sasaran pembunuhan, beliau tidak pernah mengambil langkah menghadapi kemungkinan diserang lagi. Ini sesuai dengan pendiriannya yang tidak takut mati dalam perjuangan sebagai syahid. Kata beliau, ”Sekiranya saya mati, akan bangkit 1000 lagi orang seperti saya.“

Pada 22 Mac 2004, Yassin disorong dengan kerusi roda bagi menunaikan solat Subuh seperti biasa. Pagi itu tidak sama seperti hari-hari sebelumnya kerana beberapa peluru Hellfire dilepaskan oleh helikopter tempur milik Israel lalu membunuh beliau. Seluruh dunia mengutuk serangan itu. Kira-kira 200,000 rakyat Palestin berarak pada hari pengkebumian beliau.


”Subhanallah...begitu semangat juangnya yang tidak gentar akan mati...tidak gentar pada musuh demi Islam...kekurangan yang ada tidak melunturkan semangat juangnya demi Islam...Ya Allah...Kau tiupkanlah sedikit dari semangat juangnya ke dalam diri kami semua..Amiin...“

Sumber : FB NurJahadah

Kenali Tokoh Kita- ABDULLAH YUSUF AZZAM



ABDULLAH YUSUF AZZAM

Abdullah Yusuf Azzam dilahirkan pada tahun 1941 di perkampungan As-ba’ah Al-Hartiyeh, daerah Tebing Barat, Palestin. Beliau adalah anak bongsu dalam keluarganya, tetapi yang paling bijak antara adik beradiknya. Sejak kecil beliau dianggap seorang yang alim. Semasa di bangku sekolah, kecemerlangan beliau dalam bidang akademik lebih menonjol.

* Sarjana yang Beramal

Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Khadorri, Tulkarm dalam bidang pertanian. Selepas menamatkan kolej, beliau mengajar di sebuah perkampungan di Selatan Jordan. Beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana muda di Universiti Damascus pada tahun 1966 dalam jurusan syariah, Selepas perang enam hari antara tentera Israel dan Negara-negara Arab, Azzam berpindah dari Tebing Barat ke Jordan. Di sana, beliau menyertai gerakan Ikhwan Palestin.

Kemudian beliau menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam pengajian sarjana bidang syariah. Beliau sempat mengajar sebentar di Universiti Jordan sebelum mendapat tawaran biasiswa ke peringkat ijazah doktor falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Pada tahun 1973, beliau berjaya mendapat ijazah kedoktoran dalam jurusan Usul Fiqh. Selepas menamatkan pengajian, beliau menjadi pensyarah di Universiti Amman, Jordan sebelum bertukar ke Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi.

* Menyahut Seruan Jihad

Berdasarkan pengalaman peribadi dalam gerakan pembebasan Palestin, beliau berpegang kepada prinsip perjuangan ummah hanya boleh mencapai kemenangan melalui senjata, bukan melalui rundingan dan seminar. Beliau mengotakan kata-katanya dengan menjadi salah seorang yang mula-mula menyahut seruan jihad di Afghanistan ketika USSR (Rusia) menakluki Afghanistan.

Pada tahun 1979, beliau memohon mengajar di Universiti Islam Antarabangsa, Islamabad, Pakistan. Pada masa yang sama, beliau berusaha mendekati pimpinan jihad dari Afghanistan di sempadan Pakistan. Tidak lama selepas itu, beliau mengerahkan sepenuh tenaga dan masanya dengan gerakan jihad di Afghanistan.

Beliau mengasaskan Baitul-Ansar atau Biro Khidmat Mujahideen yang membantu pihak Mujahideen Afghanistan. Biro itu turut berperanan melatih para sukarelawan yang mahu berjihad di Afghanistan. Peranan Azzam bukan sahaja melatih para sukarelawan, malah beliau juga menyeru sekalian umat supaya membantu perjuangan jihad di Afghanistan melalui ceramah dan tulisan-tulisan beliau.

Usaha beliau berjaya dan para sukarelawan dari seluruh pelosok dunia menyambut seruan beliau. Tidak kurang daripada 20,000 orang dari seluruh pelosok dunia datang ke Afghanistan bersama-sama mempertahankan maruah umat Islam. Dengan itu, beliau membina kem latihan khas bagi melatih mereka taktik peperangan bersenjata.

Beliau sendiri tidak ketinggalan berjuang bersama para Mujahideen di serata Afghanistan walaupun sudah berusia 40-an. Beliau juga berperanan menyatupadukan pemimpin-pemimpin Mujahidin yang tidak sehaluan dalam usaha membebaskan Afghanistan daripada cengkaman penjajah.

Sebagai mujahidin, beliau sentiasa berpuasa selang sehari sebagaimana Rasulullah dan beliau menggalakkan para mujahidin lain juga berpuasa. Beliau pernah berkata, “Aku rasa seperti baru berusia sembilan tahun. Tujuh setengah tahun berjihad di Afghanistan, satu setengah tahun berjihad di Palestin. Selebihnya tiada nilai bagiku.” Majalah Time menganggap Azzam sebagai pembaharu jihad dalam abad ke-20.

* Cubaan Membunuh

Pada tahun 1989, pihak musuh cuba membunuh beliau dengan menggunakan bahan letupan yang dipasang pada tempat beliau berkhutbah pada setiap Jumaat. Namun, cubaan untuk membunuh beliau gagal apabila bom tidak meletup dengan izin Allah. Namun ajal beliau tiba pada 24 November pada tahun yang sama semasa dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat.

Sebanyak 20 kilogram bahan letupan TNT yang dipasang pada jalan meletupkan kenderaan mereka dan membunuh Azzam dan dua orang anaknya. Walau bagaimanapun, jasadnya tidak hancur sebaliknya hanya sedikit darah keluar dari mulutnya. Jasad as-syahid dikebumikan di Peshawar.


“Subhanallah..Subhanallah..Subhanallah….
jasadnya tidak hancur walau terkena bahan letupan…tanda kekuasaan Allah…sungguhnya beliau adalah as-syahid….Subhanallah…”

Thursday, June 24, 2010

kenali Tokoh Kita : as-Syahid HASSAN AL-BANNA



Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di perkampungan al-Mahmudiya yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Bapanya bernama Syeikh Ahmad ibn ‘Abd al-Rahman al-Banna. Bapanya adalah ulama, guru, imam, dan penulis beberapa buah kitab hadis dan fiqah perundangan Islam. Bapa beliau seorang yang terpelajar dan lulusan Universiti al-Azhar, Mesir.

Bagi menyara kehidupan keluarga, bapanya bekerja sebagai tukang pembaik jam di tempat tinggalnya itu. Dalam kalangan penduduk kampung, bapanya dihormati kerana dia seorang yang bersopan santun, merendah diri, pemurah dan berperibadi tinggi. Bapanya juga mengajar ilmu-ilmu agama kepada penduduk setempat yang berminat. Kehidupan mereka sekeluarga sederhana.

Hassan al-Banna adalah anak sulung daripada lima orang adik beradik. Beliau sering mengikut bapanya membuat perbincangan mengenai hal-hal agama bersama-sama rakan-rakannya di kedai dan di rumah. Hal ini menyebabkan Hassan al-Banna terikut-ikut dan mewarisi pemikiran dan perwatakan bapanya itu.

* Pendidikan

Sejak di bangku sekolah rendah, Hassan al-Banna sudah menunjukkan sifat kepimpinannya. Beliau dilantik menjadi pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolahnya. Beliau banyak menghadiri majlis-majlis zikir yang dianjurkan oleh al-Ikhwan al-Hasafiyah.

Bapanya juga mendidik beliau dan adik beradiknya dengan ajaran Islam. Tidak hairan pada usia muda beliau sudah boleh menghafaz Quran dan seterusnya memasuki Pusat Latihan Perguruan. Beliau adalah pelajar yang pintar kerana sering mendapat tempat pertama dalam peperiksaaan.

Kepintarannya itu menyebabkan Hassan al-Banna dapat melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum di Kaherah pada umur 17 tahun. Pada masa itu, keadaan politik di Kaherah sedang berglak. Fahaman sekular yang disebarkan oleh Kamal Atartuk menentang aliran Islam di sana. Kebanyakan kegiatan yang berfahaman sekular berleluasa di sana pada masa itu. Mereka berbuat demikian bagi melemahkan pengaruh Islam di Kaherah.

Keadaan ini menarik minat Hassan al-Banna terlibat dengan pertubuhan Jamaiatul Makram al-Akhlaq. Pertubuhan ini giat mengadakan ceramah-ceramah Islam bagi menghapuskan fahaman sekular yang mula menyusup masuk dalam fikiran umat Islam pada waktu itu.

* Kerjaya

Semasa beliau berumur 23 tahun, beliau bekerja sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah selama 19 tahun. Pada tahun 1946, beliau meletakkan jawatan sebagai guru dan mula bergiat sepenuh masa dalam dakwah. Beliau berdakwah melalui gerakan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkannya bersama rakan-rakan yang lain.

* Ikhwanul Muslimin

Ikhwanul Muslimin disebarkan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama melalui ceramah dan aktivit kebajikan yang digunakan bagi memperkenalkan Ikhwanul Muslimin. Peringkat kedua pula menumpukan kepada ahli-ahli anggota dibentuk supaya mempunyai keperibadian diri yang tinggi bagi menghadapi cabaran jihad. Peringkat ketiga adalah dengan melaksanakan cita-cita perjuangan mereka.

Selepas Perang Dunia Kedua, pertubuhan Ikhwanul Muslimin bertanding dalam pilihan raya di Mesir. Pada tahun 1934, sebanyak 50 buah cawangan Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Mesir. Kegiatan mereka begitu aktif hingga dapat menawan pelajar-pelajar sekolah, qariah masjid dan pekerja-pekerja kilang. Ada sumber yang mengatakan, sekitar penghujung Perang Dunia Kedua, penyokong-penyokong Ikhwanul Muslimin mencecah hampir setengah juta orang dan beroperasi sebanyak tiga ribu buah cawangan di Mesir dan lima buah cawangan di Sudan.
Kerja kebajikan yang dilakukan oleh Hassan al-Banna mendapat sanjungan daripada kerajaan British. Kerajaan British memuji segala kebaikan yang dilakukan oleh Hassan al-Banna. Namun, pengaruh yang besar pada Ikhwanul Muslimin merunsingkan kerajaan Mesir. Pada masa itu, kerajaan Mesir berada di bawah kuasa Noqrashi Pasha daripada Parti al-Saidi. Pada tahun 1948, Noqrashi Pasha membuat tuduhan dengan mengatakan Ikhwanul Muslimin mempunyai rancangan mahu menjatuhkan kerajaan Mesir.

Peristiwa itu berlanjutan hingga semua cawangan Ikhwanul Muslimin disuruh tutup dan dihapuskan. Semua penyokong dan anggota Ikhwanul Muslimin diseksa, dibunuh dan dipenjarakan. Kemuncak peristiwa itu berlakunya pembunuhan ke atas Perdana Menteri Mesir. Pertubuhan Ikhwanul Muslimin dituduh dan dipersalahkan membunuh Perdana Menteri Mesir. Segala harta benda Ikhwan Muslimin dirampas dan pengikut-pengikutnya ditahan di dalam penjara.

Pada 12 Februari 1949, jam lima petang, pihak kerajaan Mesir menjemput Hassan al-Banna dengan tujuan mahu berbincang perihal krisis yang mereka hadapi itu. Hassan al-Banna dijemput datang ke Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin. Hassan al-Banna datang bersama-sama iparnya, Abdul Karim Mansur.

Jemputan itu sebenarnya adalah taktik kotor yang digunakan oleh pihak kerajaan Mesir. Menteri Zaki Ali Basya yang sepatutnya hadir bagi berbincang dengan Hassan al-Banna tidak muncul-muncul. Mereka sebenarnya merancang mahu membunuh Hassan al-Banna. Hassan al-Banna dan iparnya ditembak oleh dua orang yang tidak dikenali semasa beliau mahu menaiki teksi untuk pulang selepas lama menunggu di Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin.

Akhirnya Hassan al-Banna menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12.50 malam selepas mengalami pendarahan yang banyak. Namun, perjuangan beliau tetap berkembang hingga ke hari ini ke seluruh pelosok dunia.

“Subhanallah...inilah dia pejuang agama...Allahu Akbar..”

sumber : FB

Umar al-Mukhtar


Umar al-Mukhtar lahir pada tahun 1862 di sebuah perkampungan Janzur di Timur Libya. Nama penuh beliau adalah Umar al-Mukhtar bin Umar al-Minifi, daripada keturunan Farhat yang beraliran sufi al-Sanusiyah. Ayah dan ibu Umar meninggal dunia ketika beliau berusia 16 tahun. Beliau kemudiannya dipelihara oleh seorang guru yang alim di kampungnya. Beliau membesar alam suasana didikan agama.

* Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian menengah di Bandar al-Jaghbub, kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli. Selama lapan tahun, beliau berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Imam Sayyid al-Mahdi as-Sanusi. Beliau belajar ilmu-ilmu agama, bahasa Arab serta menghafaz Quran. Beliau seorang pelajar yang pintar dan berdisiplin.

Umar menghafaz Quran sejak kecil dan sering mengkhatamkannya secara berulang kali setiap minggu. Menjelang umur 20-an, beliau dikenali sebagai seorang yang berani, petah dan bijaksana. Pendapat dan nasihat beliau menjadi rujukan penduduk setempat. Beliau juga turut berjaya menyatupadukan puak-puak yang bertelagah.

* Menentang Penjajahan

Ketika Barat sedang rancak menjajah tanah empayar Uthmaniah pada tahun 1899, Umar berjaya menyatukan rakyat Libya dan menubuhkan pasukan Banu Sanus ( Sanusi ) bagi menentang penjajah Perancis di sempadan Sudan. Pada masa itu, beliau baru berusia sekitar 30-an. Apabila Itali memasuki Libya pada tahun 1921, Umar sekali lagi emngumpulkan pejuang-pejuang muda bagi menghadapi penjajah itu.

Ramai di kalangan pemimpin negara dan ulama lari ataupun berpaling tadah menjadi boneka penjajah. Namun, tawaran harta dan pangkat oleh penjajah Itali tidak langsung menggugat azam beliau bagi membebaskan negaranya. Bahkan, pada tahun 1915, tentera Itali malu besar apabila ribuan tenteranya berjaya dibunuh dalam peperangan di al-Gherthabiya berhampiran Sirt. Kebolehan Umar dalam mengatur strategi perang di padang pasir dikagumi hingga diberi jolokan ”Singa Padang Pasir“.

Akhirnya, tentera Itali cuba mengusir beliau ke daerah lain. Namun, usaha ini juga gagal. Beliau meneruskan penentangan walaupun usia beliau menjangkau 70-an. Sepanjang lebih 20 tahun hidupnya menentang penjajahan, beliau mengikuti hamper 1000 pertempuran dengan tentera penjajah. Pada tahun 1922, Itali mengambil pendekatan melumpuhkan tentera Islam dengan menyekat bekalan dan bantuan ketenteraan dari luar dengan merentang kawat berduri sejauh 300 kilometer setinggi dua meter. Ribuan rakyat Libya mati kelaparan.

Oleh kerana kekurangan bekalan, bilangan pejuang Islam semakin berkurangan dan terpaksa bertahan di kawasan pergunungan. Namun, walaupun tentera Islam jauh kurang berbanding tentera Itali yang lengkap bersenjata moden, Umar tetap meneruskan perjuangannya dalam usia mencecah 80-an. Selepas melalui beberapa siri peperangan, akhirnya beliau berjaya ditawan oleh tentera Itali dan dibawa ke kubu musuh di banadar Suluq.

Semasa disoal siasat, pegawai tentera terpegun dengan keberanian Umar berhadapan dengannya walaupun dirantai dan cedera parah. Beliau tidak sedikit pun gentar menjawab setiap pertanyaan pegawai itu, malah sebaliknya pegawai itu yang gementar berhadapan dengan Umar.

* Syahid di Tali Gantung

Umar dihukum gantung oleh mahkamah tentera Itali pada September 1931 di Kota Solouq. Hingga ke akhir hayat, beliau tidak mahu tunduk kepada penjajah. Apabila panglima tentera Itali menawarkan mahu membebaskan beliau dengan syarat beliau mematuhi segala arahannya, beliau berkata, “Aku tidak akan berhenti menentang kamu, hingga kamu meninggalkan tanah airku, ataupun hingga aku mati. Aku bersumpah kepada Allah yang Maha Mengetahui sesuatu dalam hati manusia, sekiranya bukan kerana tanganku diikat sebegini, pasti aku akan tetap melawanmu dengan tangan kosong, biarpun dalam keadaan yang tua sebegini.”

Beliau turut menyeru kepada rakyat Libya yang hadir di situ, “Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukan penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapai peperangan demi peperangan, sekiranya kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu.”

Pembunuhannya di tali gantung menyemarakkan semangat rakyat Libya dan pemberontakan terus tercetus di Afrika Utara.

"Subhanallah..Allahu Akbar...Allahu Akbar..Allahu Akbar..bisakah kita menyemai benih semangat perjuangan yang begini dalam diri kita demi menegakkan Islam...? Allahu Akbar..Syahid