Thursday, June 24, 2010

kenali Tokoh Kita : as-Syahid HASSAN AL-BANNA



Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di perkampungan al-Mahmudiya yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Bapanya bernama Syeikh Ahmad ibn ‘Abd al-Rahman al-Banna. Bapanya adalah ulama, guru, imam, dan penulis beberapa buah kitab hadis dan fiqah perundangan Islam. Bapa beliau seorang yang terpelajar dan lulusan Universiti al-Azhar, Mesir.

Bagi menyara kehidupan keluarga, bapanya bekerja sebagai tukang pembaik jam di tempat tinggalnya itu. Dalam kalangan penduduk kampung, bapanya dihormati kerana dia seorang yang bersopan santun, merendah diri, pemurah dan berperibadi tinggi. Bapanya juga mengajar ilmu-ilmu agama kepada penduduk setempat yang berminat. Kehidupan mereka sekeluarga sederhana.

Hassan al-Banna adalah anak sulung daripada lima orang adik beradik. Beliau sering mengikut bapanya membuat perbincangan mengenai hal-hal agama bersama-sama rakan-rakannya di kedai dan di rumah. Hal ini menyebabkan Hassan al-Banna terikut-ikut dan mewarisi pemikiran dan perwatakan bapanya itu.

* Pendidikan

Sejak di bangku sekolah rendah, Hassan al-Banna sudah menunjukkan sifat kepimpinannya. Beliau dilantik menjadi pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolahnya. Beliau banyak menghadiri majlis-majlis zikir yang dianjurkan oleh al-Ikhwan al-Hasafiyah.

Bapanya juga mendidik beliau dan adik beradiknya dengan ajaran Islam. Tidak hairan pada usia muda beliau sudah boleh menghafaz Quran dan seterusnya memasuki Pusat Latihan Perguruan. Beliau adalah pelajar yang pintar kerana sering mendapat tempat pertama dalam peperiksaaan.

Kepintarannya itu menyebabkan Hassan al-Banna dapat melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum di Kaherah pada umur 17 tahun. Pada masa itu, keadaan politik di Kaherah sedang berglak. Fahaman sekular yang disebarkan oleh Kamal Atartuk menentang aliran Islam di sana. Kebanyakan kegiatan yang berfahaman sekular berleluasa di sana pada masa itu. Mereka berbuat demikian bagi melemahkan pengaruh Islam di Kaherah.

Keadaan ini menarik minat Hassan al-Banna terlibat dengan pertubuhan Jamaiatul Makram al-Akhlaq. Pertubuhan ini giat mengadakan ceramah-ceramah Islam bagi menghapuskan fahaman sekular yang mula menyusup masuk dalam fikiran umat Islam pada waktu itu.

* Kerjaya

Semasa beliau berumur 23 tahun, beliau bekerja sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah selama 19 tahun. Pada tahun 1946, beliau meletakkan jawatan sebagai guru dan mula bergiat sepenuh masa dalam dakwah. Beliau berdakwah melalui gerakan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkannya bersama rakan-rakan yang lain.

* Ikhwanul Muslimin

Ikhwanul Muslimin disebarkan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama melalui ceramah dan aktivit kebajikan yang digunakan bagi memperkenalkan Ikhwanul Muslimin. Peringkat kedua pula menumpukan kepada ahli-ahli anggota dibentuk supaya mempunyai keperibadian diri yang tinggi bagi menghadapi cabaran jihad. Peringkat ketiga adalah dengan melaksanakan cita-cita perjuangan mereka.

Selepas Perang Dunia Kedua, pertubuhan Ikhwanul Muslimin bertanding dalam pilihan raya di Mesir. Pada tahun 1934, sebanyak 50 buah cawangan Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Mesir. Kegiatan mereka begitu aktif hingga dapat menawan pelajar-pelajar sekolah, qariah masjid dan pekerja-pekerja kilang. Ada sumber yang mengatakan, sekitar penghujung Perang Dunia Kedua, penyokong-penyokong Ikhwanul Muslimin mencecah hampir setengah juta orang dan beroperasi sebanyak tiga ribu buah cawangan di Mesir dan lima buah cawangan di Sudan.
Kerja kebajikan yang dilakukan oleh Hassan al-Banna mendapat sanjungan daripada kerajaan British. Kerajaan British memuji segala kebaikan yang dilakukan oleh Hassan al-Banna. Namun, pengaruh yang besar pada Ikhwanul Muslimin merunsingkan kerajaan Mesir. Pada masa itu, kerajaan Mesir berada di bawah kuasa Noqrashi Pasha daripada Parti al-Saidi. Pada tahun 1948, Noqrashi Pasha membuat tuduhan dengan mengatakan Ikhwanul Muslimin mempunyai rancangan mahu menjatuhkan kerajaan Mesir.

Peristiwa itu berlanjutan hingga semua cawangan Ikhwanul Muslimin disuruh tutup dan dihapuskan. Semua penyokong dan anggota Ikhwanul Muslimin diseksa, dibunuh dan dipenjarakan. Kemuncak peristiwa itu berlakunya pembunuhan ke atas Perdana Menteri Mesir. Pertubuhan Ikhwanul Muslimin dituduh dan dipersalahkan membunuh Perdana Menteri Mesir. Segala harta benda Ikhwan Muslimin dirampas dan pengikut-pengikutnya ditahan di dalam penjara.

Pada 12 Februari 1949, jam lima petang, pihak kerajaan Mesir menjemput Hassan al-Banna dengan tujuan mahu berbincang perihal krisis yang mereka hadapi itu. Hassan al-Banna dijemput datang ke Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin. Hassan al-Banna datang bersama-sama iparnya, Abdul Karim Mansur.

Jemputan itu sebenarnya adalah taktik kotor yang digunakan oleh pihak kerajaan Mesir. Menteri Zaki Ali Basya yang sepatutnya hadir bagi berbincang dengan Hassan al-Banna tidak muncul-muncul. Mereka sebenarnya merancang mahu membunuh Hassan al-Banna. Hassan al-Banna dan iparnya ditembak oleh dua orang yang tidak dikenali semasa beliau mahu menaiki teksi untuk pulang selepas lama menunggu di Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin.

Akhirnya Hassan al-Banna menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12.50 malam selepas mengalami pendarahan yang banyak. Namun, perjuangan beliau tetap berkembang hingga ke hari ini ke seluruh pelosok dunia.

“Subhanallah...inilah dia pejuang agama...Allahu Akbar..”

sumber : FB

No comments:

Post a Comment