Thursday, June 24, 2010

Ikram perteguh gerakan dakwah

SERDANG, 20 Jun: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggabungkan beberapa kumpulan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini di bawah satu nama dalam usaha menegakkan Islam di Malaysia.

Mereka antaranya terdiri daripada Jim, MIG, Ausis dan Muslih digabungkan bagi mewujudkan tadbir urus gerakan dakwah Islam yang baik, tersusun di samping memperteguh kegiatan dakwah mereka.

Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad berkata, Ikram mahu menjadi NGO massa menggunakan pendekatan aman, mendekati masyarakat dengan memberi pendidikan agama ke arah perubahan negara akan datang.

"Ikram memberi keutamaan kepada pendekatan mendidik dan yakin perubahan masyarakat bermula dengan perubahan diri dari sudut ilmu, kepercayaan, dan amal.

"Oleh itu tarbiah dan pembangunan insan mencirikan Ikram dan menjadi sumbangan utama kepada masyarakat," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran NGO tersebut di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia, The Mines, Seri Kembangan pagi tadi.

Perlembagaan Ikram menyebut mereka mempunyai lapan matlamat antaranya menyebar risalah Islam melalui dakwah, mengumpul dan membina akhlak mulia individu muslim, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memperjuang hak umat Islam dan menegakkan syariat Islam secara praktikal.

Ditanya sama ada Ikram akan bekerjasama dengan PAS untuk tujuan menegakkan Islam, Mohd Parid berkata, mereka terbuka untuk bersama dalam apa-apa isu yang berkaitan kepentingan umat Islam.

"Kita akan bekerjasama dalam bidang yang sama dengan sesiapa sahaja, dan jika tidak sama, kita hanya akan bagi pandangan," katanya lagi.

Ikram didaftarkan pada 22 Oktober 2009 dengan moto "Ukhuwah Teras Kegemilangan", beribu pejabat di Putrajaya.

Sehingga kini mereka mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri dengan keahlian seramai 3,500 orang.

-harakahdaily

Selain Mohd Parid sebagai Presiden, Timbalannya adalah Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom, dua Naib Presiden, Wan Subki Wan Salleh dan Syed Ibrahim Syed Noh yang juga pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Setiausahanya pula Zaid Kamaruddin manakala bendahari, Prof Dr Alauddin Mohd Ali.

No comments:

Post a Comment