Monday, June 28, 2010

Umar Tilmisani



Nama sebenar Umar Tilmisani adalah Umar Abdul Fattah bin Abdul Qadir Musthafa Tilmisani. Beliau dilahirkan di Al-Ghauriyah, kota Kaherah pada 4 November 1904. Ayahnya pedagang kain dan batu permata yang berasal dari desa Tilmitsani di Al-Jazair, sebelum berhijrah ke Kaherah. Umar membesar dalam suasana yang mewah, hasil kekayaan keluarganya.

* Pendidikan

Umar mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah yayasan sosial tingkat menengah iaitu Sekolah Ibtidaiyyah Jami’iyyah Khaeriyah. Pedidikan menengah beliau pula diperoleh di Madrasah Tsanawiyah al-Hilmiyah. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian ke Fakulti Undang-undang dan tamat pada tahun 1933. Sebaik sahaja tamat pengajian, beliau menjadi peguam di Syabin Al-Qanathir.

Beliau bersama Ikhwanul Muslimin sejak tamat pengajian. Malah, beliau adalah peguam pertama yang menyertai Ikhwan. Beliau banyak mengkaji kitab-kitab tafsir, fiqh, hadis dan sirah. Imam Hassan al-Banna sering meminta pandangan Umar dalam menyelesaikan masalah-masalah yang rumit.

* Sikap Peribadi

Umar seorang yang zuhud. Beliau hidup secara sederhana di sebuah apartmen yang berada di lorong-lorong sempit Kompleks Al-Mulaiji Asy-Sya’biyah Al-Qadimah, wilayah Ath-Thahir. Perabot di dalam apartmen beliau juga sederhana walaupun beliau berasal daripada keluarga yang berstatus tinggi dan kaya raya. Sifat ini menyebabkan masyarakat menghormati dan mengasihinya.

Umar juga fasih berkata-kata serta pandai berhujah, ucapan-ucapan Umar menjadi motivasi, baik kepada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin mahupun masyarakat.keseluruhannya. Beliau tidak menyakiti sesiapa dengan kata-kata kesat walaupun musuh-musuh Islam. Beliau tidak suka menggunakan kaedah kekerasan, hatta membalas kezaliman orang lain. Sikap ini jelas dalam satu dialog antaranya dengan presiden Anwar Sadat di televisyen.

Apabila Anwar Sadat menuduh pergerakan Ikhwanul Muslimin dengan tuduhan-tuduhan palsu, Umar menjawab dengan sopan dan tegas, “Sesiapa pun yang berlaku zalim kepadaku, biasanya saya adukan kepada kamu. Kerana kamu adalah rujukan tertinggi selepas Allah bagi orang yang mengadu. Sekarang, kezaliman itu datang daripada kamu, kerana itu saya adukan kamu kepada Allah.”

* Ujian Sebagai Pendakwah

Beliau menjadi Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin pada November 1973 selepas Mursyidul Am kedua, Hasan Hudhaibi meninggal dunia. Semasa Umar memegang tampuk kepimpinan Ikhwan, dakwah berkembang dengan pesat. Beliau memimpin Ikhwan dengan tenang, bijaksana dan professional.

Beliau pernah dipenjara oleh pemerintah Mesir beberapa kali dan menghabiskan lebih 17 tahun umurnya di dalam penjara. Pertama kali beliau dipenjara adalah pada tahun 1948 dan kali terakhir pada tahun 1981. Selama dipenjara, beliau tetap teguh dengan pendiriannya dalam perjuangan. Beliau tidak pernah tunduk kepada ancaman musuh dan hanya takut kepada Allah. Selepas beliau dibebaskan, beliau terus mengemudi Ikhwan Muslimin yang sedang dilanda pelbagai ujian dengan lebih bersemangat.

Dalam satu peristiwa, apabila beliau dibebaskan dari penjara pada tahun 1971, beliau bertanya kepada pegawai penjara, “Bolehkah saya menginap di sini satu malam lagi. Saya akan keluar pagi esok kerana saya sudah lupa jalan-jalan di kota Kaherah.”

* Penulisan

Umar banyak menulis buku-buku dakwah dan juga berkarya di dalam majalagh Ad-Dakwah Al-Qahiriyah. Beliau tidak pernah mengambil sebarang bayaran bagi artikel-artikel yang ditulis beliau di dalam akhbar ataupun majalah. Antara buku-buku beliau adalah Al-Islam wal hukumah Ad-diniyah, Dzikrayat la Mudzakarat, Syahid al-Mihrab, Ba’dhu Ma Allamani Al-Ikhwan dan banyak lagi.
Kembali Kepada Allah

Umar meninggal dunia pada 22 Mei 1986 di hospital sakit pada usia 82 tahun. Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Jami’ Umar Mukarram, Kaherah. Dianggarkan sekurang-kurangnya 250,000 orang dari dalam dan luar Mesir menghadiri pengkebumiannya pada hari itu.


"Subhanallah...Allahu Akbar..bagaimana bisa aku jadi seperti mereka..?? Bagaimana cara utk aku tanamkan dan cambahkan dalam diri aku semangat juang sepertinya..?? Seorang yang zuhud..tenang..pandai berhujah..bijaksana..Subhanallah...berilah aku sedikit tiupan dari semangatnya...Amiin... "

Sumber : FB

No comments:

Post a Comment