Saturday, July 3, 2010

ZAINAB AL-GHAZALI


Zainab al-Ghazali adalah wanita yang memperjuangkan hak-hak Islam. Beliau dilahirkan pada 1917 di Buhaira, Mesir. Beliau adalah keturunan Khalifah Umar al-Khattab dan al-Hassan bin Ali bin Abi Talib. Bapanya seorang guru agama dan peniaga kapas. Bapanya juga seorang pelajar lulusan Universiti al-Azhar.

Zainab adalah wanita kental dan berani dalan memperjuangkan agama Islam. Semasa beliau masih remaja iaitu pada tahun 1936, beliau menyertai Kesatuan Waniat Mesir. Namun, beliau keluar daripada kesatuan itu dan menubuhkan Jamaah Wanita Muslimah. Penubuhan Jamaah Wanita Muslimah adalah bagi mengurus segala perkara yang berkaitan dengan aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam.

* Aktif dalam Pertubuhan Wanita

Pada tahun 1928, Hassan al-Banna bertemu Zainab untuk menjadi penggerak kepada sayap wanita bagi pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Imam Hassan al-Banna mahu supaya Jamaah Wanita Muslimah bergabung dengan Ikhwanul Muslimin. Namun, Zainab menolak pelawaan itu tetapi bersetuju memberi kerjasama apabila diperlukan.

Kemudian Zainab berbaiah dengan Imam Hassan al-Banna pada tahun 1948. Pada tahun 1949, Zainab menyokong dan memperjuangkan agama Islam bersama Imam Hassan al-Banna. Pada 12 Februari 1949, Imam Hassan al-Banna ditembak dan mati syahid.

Peristiwa kematian Imam Hassan al-Banna tidak mematahkan semangat Zainab dalam memperjuangkan daulah Islam. Bersama pengganti pemimpin Ikhwanul Muslimin yang baru iaitu Hassan al-Hudhaibi, Zainab menunaikan baiahnya yang pernah dibuat semasa Imam Hassan al-Banna masih hidup. Namun, perjuangannya bersama Ikhwanul Muslimin ditentang oleh pemerintah iaitu Jamal Abdul Nasser. Kisah penderitaan hidupnya semasa pemerintahan Jamal Abdul Nasser ada tertulis dalam kitab Hari-hari Dalam Hidupku.

* Zainab al-Ghazali Dipenjara

Zainab ditangkap dan dipenjara pada tahun 1965 apabila pihak kerajaan Mesir berasa curiga pada pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Jamaah Wanita Muslimah dibubarkan. Pada tahun 1966, Zainab dibicarakan dan dihukum penjara seumur hidup dengan melakukan kerja-kerja berat.

Pada tahun 1967, kerajaan Mesir di bawah pimpinan Jamal Abdul Nasser mengalami kekalahan kepada Israel dan sekutunya dalam perang tiga serangkai. Pada tahun 1971, hukuman pada Zainab dibatalkan dan beliau dibebaskan dari penjara apabila Jamal Abdul Nasser meninggal dunia. Beliau dibebaskan oleh pemerintah Mesir yang baru iaiu Anwar Sadat.

* Karyanya yang Terkenal

Zainab seorang yang berbakat besar dalam bidang penulisan. Beliau banyak menulis di dalam majalah al-Da’wa. Beliau adalah editor bagi sebuah ruangan dalam majalah al-Da’wa bagi pembangunan rumah tangga Muslim yang sejati. Kata-kata yang beliau berikan juga bernas dan berlandaskan agama Islam. Ini terbukti apabila beliau mengeluarkan kenyataan dalam satu temu ramah di rumahnya pada tahun 1981.

Beliau berkata,”Islam menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya iaitu kebebasan, hak dalam ekonomi, politik, sosial, hak awam dan juga hak persendirian. Islam memberikan hak-hak wanita dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata perihal kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian, Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata perihal kebebasan wanita. Wanita muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka lebih tahu Islam memberikan mereka semua hak-hak mereka.“

Selain itu, antara karya beliau yang terkenal adalah sebuah buku yang bertajuk Return of The Pharaoh. Buku itu diharamkan oleh pihak kerajaan Mesir kerana isi kandungannya khas ditujukan kepada Presiden Mesir pada masa itu.

Zainab al-Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Rabu, 3 Ogos 2005 semasa umurnya 88 tahun.


Sumber : Fb

No comments:

Post a Comment