Friday, July 23, 2010

Badiuzzaman Said Nursi

Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan di perkampungan Nurs di Wilayah Bitlis, yang terletak di timur Anatolia pada tahun 1876M, iaitu tahun Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta pemerintahan Uthmaniyyah. Beliau yang kemudiannya diberi gelaran Badiuzzaman (Keagungan Zaman) berketurunan Kurdi dan tidak bertutur di dalam Bahasa Turki, hinggalah beliau berhijrah ke bandar Van.

Semasa di Van, beliau telah membuat analisa terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya kaum Kurdi terhadap Islam. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa beliau berkewajipan untuk belajar ilmu-ilmu Sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Badiuzzaman Said al-Nursi telah meluangkan masa belajar dengan tekun ilmu Geografi, Fizik dan Falak.

Beliau seterusnya berusaha agar ilmu Sains ini diajar seiringan dengan ilmu agama agar mereka yang tidak dapat memahami kecuali melalui ‘bahasa Sains’ akan dapat juga sampai kepada hakikat Iman.

Ketika berlakunya kucar kacir besar-besaran di Istanbul pada 13 April 1909 yang membawa kepada tersingkirnya Sultan Abdul Hamid II dari takhta Khalifah, Parti Ittihad ve Terakki telah pun menguasai negara. Mereka telah menangkap ramai sarjana Islam dan diheret ke muka pengadilan. Di antara mereka itu ialah Badiuzzaman Said al-Nursi. Tetapi disebabkan oleh kepintarannya berhujah, mahkamah gagal mensabitkan beliau dengan sebarang pertuduhan, dan akhirnya dibebaskan.

Badiuzzaman Said al-Nursi juga pernah pergi ke Syam (Damascus) dan menyampaikan khutbahnya di Masjid al-Umawi di sana. Khutbah yang disampaikannya di situ dikenali sebagai al-Khutbah al-Syâmiyyah, menjelaskan tentang sebab-sebab kemunduran umat Islam sebagaimana yang diperhatikannya.

Beliau juga telah secara sukarela menyertai Perang Dunia Pertama bersama-sama dengan 3000 orang anak muridnya. Mereka bertempur dengan tentera Russia yang bekerja keras menawan Bitlis. Selepas ramai tentera Russia terbunuh di satu pihak, serta tentera Islam dari kumpulan Turki dan Kurdi di satu pihak yang lain, akhirnya Bitlis jatuh ke tangan Russia. Badiuzzaman Said al-Nursi telah ditawan dan dipenjarakan. Akan tetapi, semasa di penjara itu, beliau tetap meneruskan kerjanya mengajar Islam kepada tawanan perang.

Badiuzzaman telah berjaya melepaskan diri dari tawanan tersebut dan melarikan diri ke Siberia. Kemudiannya beliau ke Eropah dan seterusnya pulang ke Istanbul melalui Warsaw, Berlin dan Vienna.

Di Istanbul, Enver Paşa yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu telahmengurniakan Badiuzzaman Said al-Nursi pelbagai anugerah kehormat di atas jasanya memimpin orang ramai ke arah bangkit menentang penjajahan Russia. Enver Paşa juga telah melantik beliau menjadi anggota Darü’l-Hikmeti’l-Islamiye, sebuah akademi yang menghimpunkan sarjana Islam di Istanbul ketika itu.

Selepas berlakunya Perang Kemerdekaan dan berjayanya Turkish Grand National Assembly dibentuk, kabinet Atatürk telah menjemput Badiuzzaman menyertainya di Ankara. Jemputan itu diterima, namun selepas tibanya Badiuzzaman ke Ankara, dia tidak dapat bersekongkol dengan mereka kerana beliau mendapati anggota kabinet itu tidak patuh kepada Syariat Islam.

Beliau menegur Atatürk dan anggota kabinetnya, “tidak ada kebaikan yang boleh saya harapkan daripada golongan yang mengabaikan Solat!” Selepas itu, Badiuzzaman Said al-Nursi meneruskan kegiatannya berdakwah, mendidik masyarakat dan sentiasa berulang alik di antara penjara dan pembuangan, hasil tekanan yang dibuat oleh regim Atatürk.

Pada tahun 1935, kerajaan Republik Turki telah membuat pertuduhan terhadap Badiuzzaman bahawa kononnya beliau menubuhkan sebuah gerakan rahsia yang menentang pemerintah. Beliau telah didakwa di Mahkamah Eskişehir dan kemudiannya dibuang ke Kastamonu. Manakala pada tahun 1943, Mahkamah Denizli telah mendakwa Badiuzzaman Said al-Nursi bahawa beliau memimpin sebuah pergerakan rahsia yang bertujuan menggulingkan pemerintah, serta menuduh Atatürk sebagai ‘Dajjal dan Pembinasa Agama’. Pendakwaan itu berlangsung selama 9 bulan. Beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan tetapi ditahan daerah di Emirdağ, sebuah bandar di daerah Afyon.

Pada tahun 1952, Badiuzzaman tiba di Istanbul tetapi kemudiannya pulang semula ke Emirdağ dan di peringkat inilah, risalah-risalah karangannya, dikumpul dan ditulis dengan huruf Arab untuk disebarkan kepada orang ramai. Pengikut Badiuzzaman menjadi semakin ramai khususnya selepas tahun 1950 iaitu di era pemerintahan İsmet İnonu.

Penulisan Badiuzzaman telah menjadi pembimbing yang besar kepada umat Islam di Turki. Beliau menulisnya secara non linear iaitu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran bukan mengikut susunan Surah atau Ayat. Sebaliknya berdasarkan kepada keperluan masyarakat menerusi isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Beliau sendiri menggelar Risalahnya sebagai “penolak keraguan yang ditimbulkan oleh Syaitan-syaitan Jin dan manusia, serta pengukuh Aqidah kaum Muslim di jalan yang Haq dan betul”

Pada tahun 1960 Said al-Nursi berhasrat untuk berpindah dari İsparta ke Urfa. Di rehlah kali inilah, Badiuzzaman Said al-Nursi menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas suatu perjalanan hidup yang panjang dan berliku, iaitu pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Beliau selamat dikebumikan di Urfa.

Akan tetapi pada 11 Julai 1960, Revolusi Tentera telah menggulingkan pentadbiran kabinet Adnan Menderes dan beliau sendiri dihukum gantung oleh pihak Tentera dengan alasan bersikap acuh tidak acuh di dalam mengekang kebangkitan semula golongan pro-Islam. Pada masa itulah, anggota revolusi telah mengarahkan supaya makam Badiuzzaman Said al-Nursi dibongkar dan jenazahnya dikeluarkan untuk dipindahkan ke İsparta. Di bandar itulah, Badiuzzaman Said al-Nursi bersemadi di suatu tempat yang tidak diketahui, hingga ke hari ini.
Dakwah yang dilakukan oleh Badiuzzaman Said al-Nursi menonjolkan kesungguhan beliau memecahkan kebekuan tradisi pengajian ilmu Islam, mendorong kepada penguasaan ilmu Syariat dan Sains dan saling mempergunakan kedua-dua ilmu tersebut ke arah memahami hakikat Iman.

Beliau tidak banyak mendatangkan perselisihan pandangan Ulama, sebaliknya banyak memfokuskan kepada meneroka pelbagai kaedah penyampaian demi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat memahami mesej yang hendak diketengahkan.
Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran untuk Badiuzzaman Said al-Nursi yang kehidupan dan matinya bujang, kerana berkahwin dengan perjuangan yang gigih dan berpanjangan.

Sumber:
Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Uthmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pada 4 Februari 2006. Artikel asal bertajuk Dakwah Badiuzzaman Said al-Nursi.

1 comment:

  1. sekadar perkongsian tambahan;

    Darü’l-Hikmeti’l-Islamiye: Dar al-Hikmah al-Islamiyah, merupakan sebuah badan akademik untuk menyebarkan agama Islam,menjwb dan menolak sgla kecaman dan keraguan yg ditmbulkn thdap Islam.

    İsparta: Isbartah

    Anatolia: Turki

    Parti Ittihad ve Terakki: Pertubuhan al-Ittihad wa al-Taraqqi (berfahaman sekular dan fokus kepada agenda pembaratan @westerisation)

    dan Nursi telah dipenjarakan sebanyak 4 kali serta menjdi buangan juga selama 4 kali dr thun 1926-1949

    Mustafa Kamal: "Kami sememangnya memerlukan tokoh yg hebat spt kamu. kami menjemput kamu ke sini untuk memanfaatkn idea pmikiran kamu. malangnya tndakan kmu dengan menekankn soal sembahyang tlh memecah belahkan kmi.Sembhyg adalah soal peribadi,Sesiapapun tidak berhak mncampuri urusan peribdi seseorg".

    Nursi: Pasha, Tanda pertma seorg Muslim slps beriman ialah sembhyg. Sesiapa yg tidak menunaikan sembahyag adalah pengkhianat dan arahan seorang pengkhianat tidak perlu dipatuhi. Memang betul sembahyang adalah soal peribadi akn tetapi siapakah yg hendak percaya mmpercayai bhawa org yg tidak menunaikan kwajipan terhdp Allah dpt melksanakan tugas2 negara dgn baik..."

    Malah ketika Mustafa Kamal mghantar Nursi k stesen keretapi untuk mengucapkan selmat jalan (Nursi tidak mahu bersekongkol dgn M.Kamal) MK cuba mndapatkan pndgan Nursi berkaitan pmbinaan tugu..

    "Al-Quran menentg keras segala bentuk patung dan berhala. Orang2 Islaam ketika ini mmerlukan bgunan2 spt hospital,sekolah,rumah anak2 yatim,masjid dan jalanraya"

    Pengalamn Nursi dipenjara Afyun: lebih teruk dr apa yg diterima di Dinizli.Selama 20 bulan beliau dikurung seorang diri,diracun sebnyak 25 kali melalui mknanya,,murid2 yg cuba mmbantunya dipukul.

    Hingga akhirnya Kerajaan Turki telah jatuh ke tgan Parti Demokratik Turki (Jalal Bayar) dan kerajaan baru ini menisytiharkan pengmpunan menyeluruh kpda rakyat Turki pada 14 Julai 1950 seterusnya membawa kpda pengmpunan Nursi dan Rasa`il al-nur.

    wallahua'lam

    ReplyDelete